Kos bermain dan sistem ekonomi maya Twilight Heroes

Twilight Heroes adalah percuma dan cuma memerlukan perkakasan komputer yang ringkas, maka ianya sangat sesuai untuk pemain yang tidak memiliki komputer yang pantas atau canggih. Walau bagaimanapun, ianya bergantung pada wang derma daripada pemainnya untuk menjelaskan kos penyelenggaraan.

Aktiviti ekonomi dalam alam Twilight Heroes tertumpu pada pungutan cip plastik semasa rondaan, sama ada melalui penerokaan atau dengan menewaskan musuh yang menyerang pemain. Sebagai wang, cip plastik digunakan sebagai penilai dalam perdagangan dan juga berguna dalam membeli barang daripada kedai-kedai dalam bandar Twilight.

Pendermaan sebanyak AS $10 atau lebih akan melayakkan penderma untuk menerima pingat (stars ataupun "bintang") yang boleh digunakan secara terus, dijual atau ditukar dengan pemain lain, ataupun ditukar di sebuah kedai khas untuk senjata dan perkakasan yang maha berkuasa dan unik.